Wednesday 2 May 2018

Aktiviti 3




Aktiviti 3

Aktiviti 2





Aktiviti 2

Aktiviti 1




Aktiviti 1

Friday 24 November 2017

AKTIVITI PELAJAR

AKTIVITI PELAJAR

1.1       Definisi Usrah

            Dari segi bahasa, usrah bererti keluarga.

Manakala dari segi istilah pula bererti satu kumpulan yang dianggotai oleh beberapa orang individu muslim yang beriman kepada Allah s.w.t yang diikatkan dengan pertalian akidah islamiah, berusaha tolong menolong antara satu sama lain untuk memahami Agama Islam yang mulia serta menghayatinya dan cuba mewujudkan persekitaran yang baik.

1.2       Sejarah Usrah
Usrah  merupakan satu perkara yang menjadi sunnah yang paling besar dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, pada peringkat awal permulaan dakwah Islam, Rasulullah SAW telah menerima seruan Islam secara individu, lalu ia dikongsikan dan disebarkan kepada ahli keluarga Baginda  yang terdekat, bermula dengan Siti Khadijah r.a, isteri Baginda sendiri dan sepupu Baginda, Saidina Ali r.a .Selain dari itu, beberapa orang sahabat Rasulullah  SAW yang tedekat juga telah disampaikan dengan risalah agung ini, contohnya Abu Bakar Al-Siddiq  r.a dan tersebar pula kepada Othman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf r.a dan lain-lain lagi.
Zaman awal tersebut merupakan suatu zaman yang tertumpu kepada penjernihan fikrah iaitu penjernihan pemikiran dan pegangan daripada amalan dan pegangan jahiliah kepada  akidah Islam yang tulen. Rasulullah SAW pada ketika itu banyak bertemu dan mengajar sahabat-sahabat Baginda yang baru memeluk Islam, tetapi dalam bentuk  penuh dengan kerahsiaan. Ketika itu, kaedah dakwah yang dilakukan pada ialah dakwah fardiyah atau dakwah secara individu. Setiap orang perlu menjaga keselamatan masing-masing. Ini kerana sekiranya ajaran yang baru ini terdedah kepada umum pastinya ia akan mendapat reaksi yang berbeza-beza dalam kalangan pihak Quraisy pada ketika itu.
Ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas, setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat kena bagi memulihkan hati  yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur’an (dari surah Qaf, 50 hingga al-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah Tuhan mereka yang sebenarnya patut disembah dan juga persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh seorang hamba.
Dalam konteks tersebut, Rasulullah SAW telah membuat pertemuan-pertemuan sulit di rumah beberapa orang sahabat. Antaranya yang paling masyhur sekali kisahnya ialah pertemuan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam yang mana pada ketika itu beliau baru saja berusia 16 tahun. Ini sebenarnya satu kebijaksanaan yang ada pada diri Rasulullah SAW sendiri yang sengaja tidak memilih untuk mengadakan sebarang pertemuan di rumah-rumah sahabat Baginda yang terdekat seperti Abu Bakar r.a, supaya pertemuan-pertemuan sulit ini tidak mudah diketahui oleh pihak Quraisy. Pertemuan-pertemuan dibuat bertujuan untuk membenihkan nilai-nilai Islam kepada ahli-ahlinya. Namun, pada ketika itu majlis-majlis seperti ini tidak disebut sebagai usrah. Akhirnya, dengan kesungguhan usaha yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, umat Islam akhirnya semakin hari semakin bertambah bilangan mereka. Islam mula mendapat tempat di hati manusia pada waktu itu terutama sekali selepas berlakunya hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat ke Madinah al-Munawwarah. Semasa di Madinah, usaha-usaha untuk mengumpulkan umat Islam semakin giat dijalankan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. Malah tugasnya menjadi lebih mudah kerana di Madinah, antara perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda SAW ialah mendirikan sebuah masjid yang dijadikan tempat berkumpul bagi umat Islam dan tempat untuk menyuburkan dakwah Islamiyah melalui usrah.
Selepas berlalunya zaman tersebut, Islam kembali menjadi asing. Suatu janji yang disebutkan sendiri oleh Rasulullah SAW  :
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيْبًا .فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
(رواه مسلم)
“Islam bermula dalam keadaan gharib (asing) dan akan kembali menjadi gharib (asing) semula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”
(Riwayat Muslim)

Kini, kita melihat jahiliyah kembali berleluasa, ia berlaku dengan lebih rancak lagi setelah kejatuhan Khilafah Islamiyah yang terakhir di Turki pada tahun 1924 M. Umat Islam pula semakin jauh dengan masjid-masjid mereka yang menyebabkan tugas untuk menyampaikan seruan Islam kembali menjadi sukar. Masjid-masjid dilihat tidak lebih hanyalah sebagai satu tempat untuk beribadat bagi golongan pencen yang sedang menunggu saat dan ketika sebelum sampainya ajal yang ditetapkan oleh Allah SWT dan juga sebagai tempat upacara melakukan akad nikah.
Menyedari hakikat inilah, Hassan al-Banna (1906-1949) telah memulakan usaha-usaha untuk mengembalikan zaman Khilafah tersebut. Antara perkara yang diperhatikan oleh beliau ialah bagaimana institusi keluarga telah runtuh dan gagal dalam membentuk peribadi muslim yang tulen. Ibubapa gagal mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah Islamiyah yang betul. Maka dari situ, lahirlah satu ember yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan mengubah di dalam satu kumpulan khusus yang dinamakan usrah. Pada peringkat awalnya, beliau telah memilih beberapa orang dalam kalangan sahabat beliau sendiri yang mempunyai kesedaran Islam yang tinggi dengan mengumpulkan mereka di beberapa tempat yang tertentu bagi membentuk tenaga-tenaga yang mampu untuk melakukan perubahan atau transformasi dalam masyarakat. Akhirnya kaedah mengumpulkan individu-individu dalam satu kumpulan bagi menyuburkan benih-benih Islam semakin berkembang dan seterusnya berkembang ke seluruh pelusuk dunia walaupun setelah kewafatan Imam al-Syahid Hassan al-Banna sendiri.





1.3.      RUKUN USRAH

1.3.1    Usrah tidak dapat dijalankan dengan baik dan mencapai matlamat yang digariskan melainkan setiap ahliusrah perlu memelihara 3 perkara penting usrah iaitu:

                  A)        Al-Ta’aruf        -           Saling kenal mengenali
                  B)        Al-Tafahum     -           Saling faham memahami
                  C)        Al-Takaful       -           Saling bantu membantu

A)         Al-Ta’aruf
Al-Ta’aruf bermaksud saling kenal mengenali antara ahli usrah sehingga menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam kepada saudaranya yang seagama. Kasih sayang yang dinamakan sebagai al-Hubbu fillah ( الحب فى الله ). Firman Allah s.w.t :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”
(al-Hujurat : 10)

Dan sabda Rasulullah s.a.w bersabda :

تَرَى الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِم وَتَرَاحُمِهِمْ مِثْلُ الْجَسَدِ ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
( رواه البخاري والمسلم )
“Kamu melihat orang-orang mukmin itu berkasih-sayang seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota badannya sakit, nesacya anggota-anggota yang lain turut merasainya dengan berjaga malam dan demam”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, setiap ahli usrah naqib/naqibah dan mad’u hendaklah mengenali saudara mereka dengan mendalam seperti nama, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pengalaman, kecenderungan, minat dan sebagainya yang dapat mewujudkan satu suasana kekeluargaan yang harmonis.

B)        Al-Tafahum

Al-Tafahum bermaksud mewujudkan sikap saling faham memahami dalam kalangan ahli usrah yang akhirnya dapat melahirkan keselarasan dari segi sikap, pendirian, tindakan dan amalan dalam melaksanakan ajaran Islam yang syumul.
Persefahaman yang baik dalam kalangan ahli usrah dapat menghindarkan perasaan buruk sangka, iri hati, dendam dan hasad dengki dan sekali gus dapat memupuk sikap-sikap yang positif seperti hormat menghormati dan berkasih esame.
Oleh itu, Naqib dan naqibah hendaklah sentiasa memainkan peranan pro aktif dalam menerapkan nilai nilai murni kepada ahli dengan cara bermuhasabah dan nasihat menasihati esame ahli. Firman Allah s.w.t :
 “Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar”
(al-Asr :1-3)


                                                     

C)        Al-Takaful

Al-Takaful bermaksud bantu membantu dan merupakan satu sikap mulia yang perlu diamalkan oleh setiap ahli usrah. Setiap ahli hendaklah sentiasa mengambil tahu keadaan setiap ahli yang lain dari kesihatan, kewangan dan apa jua masalah yang mungkin menimpa ahli yang lain. Perkara ini dapat dilaksanakan dengan cara bertanya khabar dan menziarahi mana-mana ahli yang menghadapi masalah.

Sesungguhnya ini akan melahirkan suasana yang baik dan memberi kesan  di kalangan ahli. Malah mereka merasakan diri mereka sentiasa dihargai dan diperlukan oleh setiap ahli usrah yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w :
مَنْ أدْخَلَ الْسُّرُورَ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ لَمْ يَر َاللهُ جَزَاءً دُونَ الجَنَّةِ
“Barang siapa yang memasukkan kegembiraan ( menghilangkan kesusahan dan kesukaran ) kepada keluarga muslim, nescaya Allah s.w.t tidak menentukan balasan kepadanya selain syurga”



1.4       MATLAMAT DAN TUJUAN USRAH

Usrah merupakan suatu perkara yang penting dalam proses tarbiah kerana ia berfungsi sebagai satu medium untuk menjayakan matlamat pendidikan dan menjadikan setiap individu muslim patuh dan iltizam dengan perintah Allah s.w.t. Antara tujuan dan matlamat utama usrah ialah :

1.    Mendekatkan individu muslim kepada Allah Azza Wajalla.
2.    Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab anggota usrah terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jemaah.
3.    Meningkatkan thaqafah islamiah dan dapat mengetahui sikap Islam terhadap satu-satu isu yang berlaku.
4.    Menghubungkan anggota usrah secara langsung dengan al-Quran dan al-Sunnah.
5.    Membina satu generasi al-Quran yang beramal dengan ajaran Islam secara menyeluruh serta menghayatinya dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat.
6.    Menyediakan anggota usrah yang mampu bekerja untuk Islam.


1.5         ADAB-ADAB USRAH
Di antara adab-adab seorang muslim ketika berada di dalam majlis usrah adalah seperti berikut :
1.     Mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya :
“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”
(al-Bayyinah : 5)
2.     Berazam untuk memperolehi ilmu dan beramal dengan ilmu yang diperolehi. Sabda Rasulullah s.a.w :
كُونُوا لِلْعِلْمِ رُعَاةً وَلاَ تَكُونُوا لَهُ رُوَاةً
“Jadilah kamu orang yang memelihara ilmu dan
janganlah kamu jadi orang yang meriwayatkan ilmu”
(Hadith riwayat Abu Nuaim)
3.     Setiap ahli usrah hendaklah sampai ke tempat usrah tepat pada waktu yang dijanjikan. Sebarang kelewatan dan keuzuran hendaklah dimaklumkan kepada naqib/naqibah.
4.     Setiap ahli hendaklah terlebih dahulu membaca dan cuba memahami teks usrah yang akan dibincangkan.
5.     Bersedia mengikuti peraturan dan arahan. Sabda Rasulullah s.a.w :
لاَ إِسْلاَمَ إِلاَّ بِجَمَاعَةٍ وَلاَجَمَاعَةً إِلاَّ بِقِيَادَةٍ وَلاَ قِيَادَةً إِلاَّ بِطَاعَةٍ
“Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa
kepimpinan, dan tidak ada kepimpinan tanpa ketaatan”
6.     Memberi salam dan meminta izin setelah sampai ke tempat usrah. Firman Allah s.w.t :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)”
(al-Nur :27)

7.     Memulakan majlis dengan pujian kepada Allah s.w.t, selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w, kemudian diikuti dengan bacaan al-Quran.
8.     Setiap ahli yang datang ke majlis usrah hendaklah dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih-sayang kerana Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w :
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله وسلم إِنَّ اللهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
 أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلاَلِي اليَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِى ظِلِّي يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّي
                                                                          (رواه مسلم)                                 
“Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman pada hari qiamat: Manakah orang-orang yang saling cinta mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini, Aku berikan Naungan-Ku kepada mereka iaitu pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku sendiri”
(Riwayat Muslim)



Berbincang dengan suara yang rendah sekira-kira dapat didengari dan difahami oleh angota yang hadir. Seboleh-bolehnya jauhi daripada ketawa  dan bergurau secara berlebihan.
10.   Mewujudkan suasana ukhuwah islamiah. Berbincanglah dengan suasana yang harmoni serta bersikap terbuka untuk menerima pandangan orang lain.
11.   Hendaklah memberi teguran yang membina dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah atau mempersendakan mana-mana individu. Sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ اللهَ أَوْحَى إِلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوا حَتَّى لاَ يَفْخَرَ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ وَلاَ يَبْغِى أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ
“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku supaya kamu bertawaduk, sehingga tidak bermegah oleh seseorang di kalangan kamu ke atas seorang yang lain dan tidak melampau oleh seseorang di kalangan kamu ke atas seorang yang lain”
(Riwayat Muslim)
12.   Jauhkan dari mengumpat, mengata dan mencaci mana-mana peribadi atau pertubuhan.
13.   Akhiri majlis dengan membaca Tasbih Kaffarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menhayati maknanya. Sabda Rasulullah s.a.w :
عن أبي بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ قال كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله وسلم يَقُولُ بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنَ الْمَجْلِسِ سُبْحَانَكَ اللهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلاً مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيْمَا مَضَى فَقَالَ كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِى الْمَجْلِسِ                         “

Dari Abu Barzah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda di akhir ketika Baginda s.a.w hendak berdiri dari majlis yang bererti : “Maha Engkau ya Allah dan aku mengucap pujian-pujian kepada-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Engkau, aku memohon keampunan dan taubat dari-Mu”. Kemudian seorang lelaki berkata :Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Tuan mengucapkan satu ucapan yang belum pernah Tuan ucapkan sebelum ini”. Baginda s.a.w bersabda: “Yang demikian itu adalah sebagai kaffarah (penebus) dari apa saja( kekurangan atau kesalahan yang terdapat dalam majlis itu ).
(Riwayat Imam Abu Daud,dan juga daripada Imam Hakim dalam Kitab al-Mustadrak dari riwayat Aisyah r.ha dan mengatakan hadis ini sahih isnadnya)

Rujukan
Usrah & Harakah : Ya’qub Muhammad Hussin
Usrah & Dakwah : Hassan al – Banna
Risalah Usrah : Abu Urwah

Adab – Adab Usrah : Ikhwan Muslimi


9.